Salam alaykum wa rahmatullah.
Hari ini aku bangun awal, luar biasa awal daripada apa yang biasa. Hari sebelumnya aku tidur sejam selepas asar (against the elderlies' order) dan resah gelisah apabila tidak dapat lena pada malamnya. Baru hendak mula relaks dan lena, dua miscall di telefon bimbit mengganggu ketenteraman aku untuk memaksa diri beradu. Aku telan sebiji ubat selsema untuk meredakan selsema yang telah melanda dua hari - sebagai ikhtiar sembuh, juga sebagai ikhtiar untuk tidur. Walaupun kurang berjaya, akhirnya aku berjaya lena dan apabila alarm berbunyi jam 5.00 pagi, Alhamdulillah aku bingkas bangun... untuk tidur kembali. Sehinggalah 5.45 pagi.
Seawal 7.30 pagi aku dan rakan taulan meninggalkan kampus kesuatu destinasi. Untuk melawat orang-orang terkucil. Orang-orang terkucil tidak lain dan tidak bukan adalah orang-orang tua yang terlantar di rumah orang tua, jauh dari belaian kasih sayang anak-anak mereka. Walaupun kebanyakan masa yang bersalah adalah sang anak yang berperangai keparat, kadang-kadang bukan salah mereka juga - ada antara mereka sebatang kara. Sudahlah tiada anak mahupun sanak saudara sudi menjaga, hidupnya penuh dugaan kesihatan dari Tuhan pula.
Sesampainya di destinasi, kami konsolidasikan diri, bersembang sebentar, menunggu ketibaan tutor. Penting juga bagi aku sesi ini, kerana mindaku kosong, blank, blur apabila tidak banyak persiapan dibuat. Bingkas bangun dari tidur, aku menelaah tentang tapak kaki pada ketika aku sepatutnya bersiap sedia dalam mod ramah mesra bersama orang-orang terkucil.
Pabila semua siap siaga dan tutor pun telah menjelmakan diri, kami bingkas membentuk kumpulan dan memulakan tugasan. Agak berat mulanya apabila tidak tahu mahu berkata apa. Kuperhatikan kotak-kotak ubat yang disimpan rapi dalam kabinet oleh penjaga rumah. Aku perhatikan dua nama Melayu, selebihnya Cina dan India. Tiada beza pun sebenarnya. Mereka serupa sahaja, terkucil hidup mereka di tanah gersang ini.
Memang misi kami untuk merasakan betapa sukarnya mahu berhubungan dengan pesakit yang mahukan sesuatu dari kita, tetapi punya halangan dalam komunikasi. Halangan bahasa contohnya. Makcik berbangsa India yang kami jumpa, memang sukar untuk berkomunikasi dengannya. Bahasa Inggeris, lingua franca kami di sini jangan haraplah. Bahasa Melayu pun tidak banyak yang boleh dibicarakan, tambah-tambah lagi dengan penat lelahnya dalam mengeluarkan setiap butir kata. Tiada pilihan, kami berundur diri.
Maka aku berjumpa dengan seorang pakcik Melayu yang menghuni di situ. Terselah dialek Pantai Timur di lidahnya. Alhamdulillah, pelbagai kisah dapat dibicara. Pakcik mengalami kelumpuhan setelah mengalami kemalangan jalan raya, dan dia tidak pernah berumah tangga. Kasihan kami perhatikan, ototnya banyak mengalami wasting, di kaki dan di tangan. Jari-jemari tidak mampu bergerak dan punya feature clawing yang telah kami pelajari sebelum ini. Julat pergerakan sangat terbatas. Nyata sekali tulang belakang serviksnya sangat bermasalah.
Maka setelah bersembang panjang dengan pakcik, kami dengar ulasan tutor - tentang pakcik dan tentang pesakit lain di rumah itu. banyak yang kami pelajari. Betapa patut kita bersyukur, selagi masih punya ibu dan bapa, sayangi dan jagalah mereka seadanya, jangan dikucilkan mereka ke hujung dunia.
Aku ucap terima kasih pada pakcik dan ucapan 'semoga berjumpa lagi'. Sememangnya ini bukanlah kali terakhir kami akan ke sana. Pastinya kami akan berjumpa pakcik lagi. Sangatg ramah dan bekerjasama, moga kami punya manfaat dalam ilmu neurologi kelak.
Kami bersiap pulang, tuntas kunaiki kereta kawan yang aku tumpangi. Kereta kami pun bergerak membelah jalan-jalan raya PJ, menuju kembali ke kampus untuk sesi pembelajaran hari ini yang belum selesai. Sambil teringatkan pakcik, aku teringatkan laporan yang harus kami buat tentang pakcik. Juga assignment yang belum kunjung tiba penghujungnya.
*******
Kebetulan hari ini pula Khairul Hafidzi, sahabat sekelas di SMAPK, pada 11.50 malam, akan terbang membelah awan, meneruskan perjuangan di Heriot Watt University di bumi Edinburgh. Selamat maju jaya syeikh.
Seeruu 'ala Barakatillah!
*******
Sekian. Wassalam alaykum wa rahmatullah.
0 comments:
Post a Comment